Mengejutkan apabila baru – baru ini kita didedahkan dengan maklumat yang dilaporkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang menyebut kira - kira 10,000 individu dikesan menjadi anggota rahsia lapan kumpulan yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah dan gangsterisme di Selangor. Apa yang dilaporkan merupakan masalah jenayah yang berlaku disebuah negeri. Bagaimana pula masalah jenayah yang berlaku dalam sebuah negara? Jika perkara ini tidak diambil tindakan dengan segera, kerisauan berlaku dibenak pemikiran kemungkinan negara kita tidak lagi selamat untuk didiami disebabkan jenayah berleluasa berlaku disetiap masa dan tempat. Merujuk kepada jenayah gangster, dimana gangster bermaksud kumpulan seminat yang dianggotai oleh ahli-ahli yang berkecenderungan melakukan perlakuan negatif atau pelbagai salah laku dan penubuhannya melibatkan upacara ritual. Ahli-ahlinya diikat dengan peraturan dan undang-undang yang ketat dan kumpulan ini umumnya bergerak secara sulit, dan, mempunyai seorang ketua yang mengetuai perancangan dan pelaksanaan program dan aktivitinya. Apa yang boleh diperkatakan, isu gangster ini hendaklah ditangani secara serius oleh semua pihak dan kita tidak boleh menyalahkan pihak – pihak tertentu sahaja dalam usaha untuk mengatasi permasalahan yang berlaku. Cuma apa yang hendak difokuskan disini adalah golongan remaja yang terlibat dalam gejala tersebut. Ini kerana remaja merupakan tunggak negara pada akan datang. Maka semestinya kita menumpukan perhatian sepenuhnya kepada golongan ini. Sebelum ini, negara pernah didedahkan dengan hasil kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan pada tahun 1999 yang menjelaskan tentang penularan gengsterisme yang semakin berleluasa di sekolah -sekolah menengah seluruh negara . Fakta kajian tersebut menunjukkan satu pertiga dari 1560 buah sekolah menengah kita adalah berisiko tinggi dan terdedah kepada berbagai -bagai kongsi gelap. Fakta tersebut merupakan kajian yang dilakukan pada 10 tahun yang lalu. Bagaimana pula kalau kajian sedemikian dibuat pada masa sekarang? Adakah jenayah gangsterisme yang berlaku diperingkat sekolah menurun atau meningkat? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.
Menurut Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mendapati pembabitan pelajar sekolah dalam kes jenayah semakin serius. Sebanyak 1,996 pelajar ditahan kerana terbabit dalam 881 kes jenayah bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2003. Manakala statistik kes rogol membabitkan pelajar di Kedah sepanjang tahun 2008 berada pada tahap yang membimbangkan dengan 226 kes direkodkan daripada keseluruhan 309 kes. Ini jelas membuktikan kepada kita, sebenarnya kadar jenayah diperingkat sekolah berada dalam kritikal.
Disebalik pembangunan fizikal negara kita semakin maju dan pesat membangun, terdapat ketidakseimbangan berlaku dimana pembangunan diri dan sahsiah diri masyarakat khususnya remaja berada dalam keadaan membimbangkan. Justeru, pihak yang sepatutnya wajib melipatgandakan usaha dalam memfokuskan pembangunan diri remaja dengan memperbanyak dan mempelbagaikan aktiviti yang dapat membina kendiri dan jati diri remaja.
Antaranya mengaktifkan semula secara serius program rakan muda dengan mempelbagaikan modul – modul bersifat kerohanian, melaksanakan program - program pembangunan insan dikalangan komuniti desa dan bandar, mengadakan karnival remaja di pusat – pusat membeli belah terkemuka dengan menyelitkan unsur – unsur pembangunan diri dan memperkasakan peranan institusi - institusi keagamaan yang bukan sekadar untuk tempat beribadah tetapi juga menjadi pusat pembangunan diri remaja.
No comments:
Post a Comment